Memorandum ASASI tentang Pengajaran Sains dan Matematik Sekolah dalam Bahasa Inggeris

Para sarjana Dunia telah ijmak bahawa penggunaan bahasa ibunda dalam pendidikan peringkat awal lebih berkesan daripada penggunaan bahasa asing pada tahap pendidikan itu. Banyak kajian penggunaan bahasa ibunda dalam pendidikan yang telah diperakui oleh UNESCO menunjukkan pelajar di peringkat permulaan pendidikan yang diajar dengan menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar mempunyai prestasi lebih cemerlang daripada pelajar yang diajar di dalam bahasa asing.